Tuesday 7 June 2011

Konsepsi Pelajar Terhadap Pembacaan Dalam Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua

http://www.ukm.my/ppbl/Gema/GEMA%20vol%208%20(2)%202008/page19_31.pdf


SINOPSIS


Sejak kebelakangan ini, kajian yang bertumpu kepada konsepsi pelajar terhadap
pembelajaran amatlah giat dijalankan. Dua pandangan utama telah terhasil daripada
kajian ini; pandangan pertama berkait dengan pemahaman permukaan yang merangkumi
penyimpanan maklumat, penghasilan semula ilmu dan penambahannya, manakala
pandangan kedua meliputi konstruksi makna dan perubahan pemahaman secara peribadi.
Kajian-kajian berkaitan yang lain juga mendapati pandangan yang sama dengan dua
pandangan di atas. Bagaimanapun, kajian-kajian tersebut tidak menunjukkan wujudnya
kesepakatan pandangan dalam memahami makna sebenar konsepsi pelajar terhadap
pembelajaran. Ini disebabkan oleh wujudnya kepelbagaian cara pembelajaran yang telah
menghasilkan kepelbagaian konsepsi pembelajaran. Justru, kajian ini akan mengutarakan
hasil dapatan yang dijalankan ke atas sekumpulan pelajar ‘Limited English Proficiency’
(LEP) di sebuah institusi pengajian tinggi awam terhadap konsepsi pembacaan dalam
konteks pembacaan dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Menerusi  soalan
terbuka dan tinjauan, dapatan menunjukan terdapat persamaan dan juga perbezaan
kualitatif pada konsepsi pembelajaran pelajar LEP. Seterusnya, implikasi hasil dapatan ke
atas pengajaran dan pembelajaran pembacaan dalam bahasa kedua  juga akan di
bincangkan.


Membaca dianggap sebagai kemahiran akademik yang terpenting di kalangan pelajar
universiti atau konteks pembelajaran. Melalui bacaan, para pelajar mendapat maklumat
terkini dan boleh mensintasis dan menilai ilmu yang dipelajari. Interaksi dengan teks
melibatkan pembaca bertindak dan meneka maklumat yang diterima dan melibatkan juga
faktor-faktor sosiokognitif seperti strategi membaca, metakognitif, pengalaman lampau
membaca dan laterbelakang budaya.
Dalam konteks Malaysia, para pelajar pengajian tinggi didapati tidak bersedia untuk
menghadapi cabaran-cabaran membaca dalam disiplin masing-masing. Kekurangan ini
dianggap sebagai satu natijah sistem pembelajaran yang terlalu menitikberatkan gred atau
markah yang tinggi. Ramaiah (1997) berpendapat rata-rata masyarakat Malaysia
menganggap bacaan sebagai sesuatu yang boleh diambil mudah dan penekanan adalah
lebih kepada hasil, dan bukannya proses. Ramaiah dan Nambiar (1993) dalam kajian
mereka ke atas pelajar universiti yang mengambil jurusan ESL (English as a Second
Language) mendapati pelajar tidak dapat memahami keseluruhan teks  yang dibaca.
Mereka mendapati pelajar memahami teks secara ceraian dengan mengambil maksud
sebahagian daripada teks sahaja, iaitu bahagian yang boleh difahami. Cara memahami
bacaan sebegini dibawa oleh pelajar apabila mereka memasuki universiti dan nyata cara
ini menyebabkan mereka berhadapan dengan masalah dalam bacaan terutamanya apabila
mereka membaca tugasan bacaan terutamanya tugasan yang memerlukan mereka
memberi pandangan kritis dan menilai teks.
Walaupun ada beberapa kajian yang melihat kepada pendekatan pelajar dalam memahami
teks (contohnya Brown et al, 1986; Faizah, Zalizan dan Norzaini, 2002), namun  tidak
banyak kajian dibuat ke atas konsepsi atau kefahaman pelajar terhadap bacaan. Oleh yang
demikian, kertaskerja ini akan membincangkan tentang kajian awal yang dibuat ke atas
pelajar bagi menerangkan konsepsi pelajar LEP terhadap bacaan  dari perspektif
fenomenografikal.


“Membaca merupakan salah satu cara untuk kita mendapatkan ilmu. Semakin banyak
kita membaca, semakin bertambah ilmu kita perolehi. Malah cara bercakap dan cara
berfikir seseorang berbeza mengikut apa yang mereka baca. Semasa membaca seseorang
itu perlu memahami apa isi yang ingin disampaikan oleh penulis barulah apa yang
dimaksudkan dengan ‘membaca’ itu memberi kesan kepada pembaca”.
Petikan di atas jelas menunjukkan konsepsi mendalam seorang pelajar tentang fenomena
pembacaan dan kefahamannya. Kepelbagaian pentafsiran semasa pembacaan yang
dibawa oleh pelajar dalam konteks bilik darjah mampu memberi maklumat berguna
tentang pengalaman pembacaan mereka kepada guru. Guru dapat menyesuaikan
pengajaran mereka dengan menggunakan pendekatan terbaik bagi mengoptimakan
pembelajaran. Pembacaan tidak hanya terhad kepada bacaan teks sahaja, malah
kemahiran lain yang berkaitan seperti sebutan, kosakata, penulisan dan ejaan akan juga
dititikberatkan.
Dalam maklumbalas penulisan mereka, dapatan dengan jelas menunjukan bahawa
terdapat variasi atau perbezaan dalam dunia pelajar dalam cubaan mereka untuk
memahami bacaan serta maksud bacaan tersebut.  Analisis menunjukan terdapat
perbezaan atau variasi dalam pengalaman yang dialami oleh pelajar ketika membaca.
Selain itu, subjek dalam kajian ini secara amnya meluahkan pandangan  yang positif
terhadap pembacaan dalam bahasa kedua terutamannya bahasa Inggeris. Walaupun
mereka peka tentang pertalian yang  positif antara  mempelajari bahasa Inggeris dan
pembacaan namun ramai masih menghadapi masalah dalam pembacaan mereka.  Respon
subjek menyokong idea mengenai variasi  pengalaman, mengembangkan kepekaan dan
pembelajaran yang berfokuskan bagaimana sesuatu fenomena  itu dialami oleh orang
yang berbeza dalam konteks yang juga berbeza (Marton & Booth, 1997). Persepsi yang
berbeza ini, dalam kes ini, pengalaman ‘membaca’, boleh diubahsuai dengan
campurtangan dari guru untuk membuat pengalaman membaca lebih berfaedah dan
berkesan. Jika cara sesuatu pengalaman membaca telah dikenalpasti sebagai berjaya,
pengalaman ini mungkin boleh didunakan sebagai ‘kepekaan pedagogi’ (Marton &
Booth, 1997), untuk pelajar yang kurang berjaya.

3 comments:

  1. assalamualaikum c.zaleha.
    sebuah jurnal yg menarik.perlu dibaca oleh semua guru terutama guru BI kerana pelajar2 kita mempunyai pelbagai tanggapan apabila melibatkan pembacaan teks BI.jurnal ini mengupas isu dengan teliti.wajib dibaca oleh semua..

    ReplyDelete
  2. thanks coz sudi komen kat wall ni..mmg murid sek terutama yang luar bandar mempunyai persepsi bahawa bahasa inggeris tu sukar. Minat pelajar terhadap B.I harus dipupuk secara perlahan2.

    ReplyDelete
  3. apa yang lebih malang...budaya membaca itu sendiri telah semakin luput..bukan sahaja dalam bahasa inggeris, bahasa melayupun sama, kalau murid2 bandar akan lebih suka melayari internet dr membaca buku...kalau murid2 kampung memberikan alasan kewangan dan jauh dr kemudahan....

    ReplyDelete